Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Amal
Jariah adalah sebutan bagi amalan yang terus mengalir pahalanya, walau
pun orang yang melakukan amalan tersebut sudah meninggal dunia. Amalan
tersebut terus menghasilkan pahala yang terus mengalir kepadanya.
Hadis
tentang amal jariah yang popular dari Abu Hurairah menerangkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda, "Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia,
maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga macam
perbuatan, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh
yang mendoakannya "(Hadis Riwayat Muslim).
Selain dari ketiga jenis perbuatan di atas, ada lagi beberapa macam perbuatan yang tergolong dalam amal jariah.
Dalam
riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Sesungguhnya diantara
amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya
meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang
ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya,
masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang
dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang
ramai, dan harta yang disedekahkannya "(Hadis Riwaya Ibnu Majah).
Huraiannya :
Di dalam hadis ini disebut tujuh macam amal yang tergolong amal jariah sebagai berikut.
1. Ilmu yang di sebarluaskan :
Menyebarluaskan
ilmu pengetahuan yang bermanfaat, baik melalui pendidikan formal
(seperti sekolah, universiti , kolej dan institusi) dan pendidikan tidak
formal seperti perbincangan ilmiah, tazkirah di masjid-masjid, ceramah
umum, kursus motivasi, program dakwah dan tarbiah dan sebagainya.
Termasuk dalam kategori ini adalah menulis buku-buku yang berguna ,
menulis kitab-kitab agama dan menyebarkan bahan-bahan pendidikan Islam
melalui artikal-artikal tazkira samaada di facebook atau blog.
2. Anak soleh yang ditinggalkan :
Mendidik
anak menjadi anak yang soleh. Anak yang soleh akan selalu berbuat
kebaikan di dunia. Menurut keterangan hadis ini, kebaikan yang diperbuat
oleh anak soleh pahalanya sampai kepada orang tua yang mendidiknya yang
telah meninggal dunia tanpa mengurangkan nilai atau pahala yang
diterima oleh anak-anak tadi. Doa anak yang soleh kepada orang tuanya
mustajab di sisi Allah SWT.
3. Mushaf (kitab-kitab agama) yang diwariskannya :
Mewariskan
kitab suci al-Quran, kitab tafsir al-Quran, mushaf (buku agama) kepada
orang-orang yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan
masyarakatnya. Samaada untuk ahli keluarga dirumah, untuk
sekolah-sekolah agama dan maahad tahfiz dan untuk perpustakaan awam.
Selagi kitab-kitab tersebut digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan
maka orang yang mewakafkan akan mendapat pahala yang berterusan.
4. Masjid yang dibina :
Membangun
masjid. Perkara ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud,
"Barangsiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah walau sekecil
apa pun, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di
syurga" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang yang
membina masjid tersebut akan menerima pahala seperti pahala orang yang
mengerjakan amal ibadah di masjid tersebut. Termasuk juga mewakafkan
tanah untuk pembinaan masjid.
5. Rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan :
Membangun
rumah musafir atau pondok bagi orang-orang yang bermusafir untuk
kebaikan adalah suatu amalan sangat di tuntut. Setiap orang yang
memanfaatkannya, baik untuk berehat sebentar mahupun untuk bermalam dan
kegunaan lain yang bukan untuk maksiat, akan mengalirkan pahala kepada
orang yang membinanya. Termasuk juga kita membina pondok perhentian bas
ditepi-tepi jalan yang tidak di bina oleh kerajaan.
6. Sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai,
Mengalirkan
air secara baik dan bersih ke tempat-tempat orang yang memerlukannya
atau menggali perigi di tempat yang sering dilalui atau didiami orang
ramai. Setelah orang yang mengalirkan air itu meninggal dunia dan air
itu tetap mengalir serta terpelihara dari kecemaran dan dimanfaatkan
orang yang hidup maka ia mendapat pahala yang terus mengalir.
Semakin
ramai orang yang memanfaatkannya semakin banyak ia menerima pahala di
akhirat. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa membina sebuah telaga
lalu diminum oleh jin atau burung yang kehausan, maka Allah akan
memberinya pahala kelak di hari kiamat." (Hadis Riwaya Ibnu Khuzaimah
dan Ibnu Majah).
7. Harta yang disedekahkannya :
Menyedekahkan
sebahagian harta. Sedekah yang diberikan secara ikhlas akan
mendatangkan pahala yang berlipat ganda. Selain daripada harta yang
diberikan sebagai sedekah, termasuk juga mewakafkan tanah untuk
pembangunan pendidikan Islam, rumah anak yatim, maahad tahfiz, tanah
perkuburan dan rumah oarng-orang tua. Selagi tanah tersebut digunakan
untuk kebaikan maka pahalanya akan berterusan kepada pemberi tanah wakaf
tersebut.
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya
sedekah itu benar-benar dapat memadamkan panas kubur bagi pelakunya,
sesungguhnya orang mukmin kelak di hari kiamat hanyalah bernaung dalam
naungan sedekahnya. (Hadis Riwayat Al-Tabrani)
Sedekah
dapat di jadikan sebagai pemberi syafaat bagi pelakunya . Di dalam kubur
ia mendapatkan kesejukan berkat sedekahnya dan terhindar dari panasnya
kubur. Demikian pula di hari kiamat, ia akan mendapatkan naungan dari
amal sedekahnya, padahal ketika itu kebanyakan manusia berada di dalam
kepanasan yang tiada taranya. Dalam hadis lain di sebutkan bahawa
sedekah itu dapat menolak kemurkaan Allah.
Sahabat yang dimuliakan,
Apa
yang ditegah adalah sikap bakhil, kecintaan melampau terhadap nikmat
dunia dan kurang peka terhadap golongan memerlukan bantuan. Sikap
seumpama ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ sebenarnya
tidak ada dalam kamus Islam.
Tinjaulah bagaimana mereka
yang berada dalam kelompok mukmin yang bergelar hartawan seperti Uthman
bin Affan, Abdul Rahman bin Auf mempamerkan nilai diri yang melandasi
tuntutan agama. Mereka langsung tidak sayang dan kedekut dengan harta
yang mereka miliki, sebaliknya merekalah yang muncul sebagai penyumbang
utama kepada usaha meningkatkan syiar agama termasuk dalam aspek
menyalurkan aneka bantuan kepada masyarakat.
Sejarah
dengan jelas merekodkan dalam tinta emas kedudukan mereka itu yang
begitu berperibadi luhur dalam kerja-kerja membantu golongan miskin.
Inilah sebenarnya yang Islam kehendaki, iaitu yang kaya membantu mereka
yang miskin. Barulah bermakna dan bermanfaat segala harta dunia yang
dimiliki.
Pesanan Allah SWT berikut ini wajar kita ingat
selalu firman-Nya yang bermaksud : “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan
yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari
akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan
bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah)
sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian rahmat-Nya
yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka
bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat
kerosakan.” (Surah al-Qasas ayat 77)
Justeru, daripada apa
yang dinyatakan Allah SWT itu jelaslah bahawa kita digalakkan supaya
berusaha menggandakan usaha mencari kekayaan dunia tetapi dalam kerangka
piawai hidup yang seimbang untuk dunia dan akhirat. Dengan demikian
kita sebenarnya dianjurkan berusaha gigih memperoleh kekayaan dunia agar
dapat mempertingkat kualiti ibadat yang berhubung secara langsung
dengan Allah SWT dan sesama manusia. Inilah yang diarahkan kepada kita
semua.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Orang yang
membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan
cara sulit atau berterang-terangan, maka mereka beroleh pahala di sisi
Tuhan mereka dan tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang
tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.” (Surah al-Baqarah ayat 274).
Menyentuh
firman Allah ini, Imam al-Khazin dalam tafsirnya memberitahu kita
bahawa: “Dikatakan bahawa ayat ini berlaku umum untuk setiap orang yang
membelanjakan harta mereka pada setiap waktu dan merata untuk semua
kalangan, baik yang berada dalam kesulitan memenuhi keperluan, dan
mereka yang meminta-minta serta hidup dalam kemelaratan.”
Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah
SAW sepanjang hayat baginda sangat memandang tinggi sikap dermawan yang
tidak bakhil dengan menyumbangkan hartanya ke jalan kebaikan. Dengan
kenyataan yang juga berbentuk satu motivasi buat umatnya, baginda
berpesan kepada kita: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan
yang di bawah, dan tangan yang di atas suka memberi dan tangan yang di
bawah suka meminta.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)
Teruskan
beramal jariah kerana inilah jenis amalan yang berterusan umpama air
sungai yang mengalir kepada mukmin yang melakukannya samaada ketika
mereka masih hidup di dunia ataupun ketika telah meninggal dunia.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar